Skip to main content

Berita: PROGRAM KK KOMUNITI SEJAHTERA 2.0 : 'LEAVE NO ONE BEHIND - TOWARDS SUSTAINABLE MARKET’ FT FREE RIDE TOUR S3 : KK LOVE BIKE - KK SUNSET RIDE 2026

  • -

    12 JULAI 2026: Dalam usaha berterusan memperkasa kesejahteraan komuniti, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat telah menganjurkan Program KK Komuniti Sejahtera 2.0: ‘Leave No One Behind - Towards Sustainable Market’, bertempat di Lintasan Deasoka, pada 4 Julai 2026.

    Bertemakan “Earth Day”, penganjuran kali ini meneruskan kesinambungan kejayaan Program KK Komuniti Sejahtera 2026 yang diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2025. Program ini menjadi platform yang menghimpunkan komuniti setempat bersama agensi kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

    Sepanjang program berlangsung, para pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik yang menggabungkan elemen hiburan, pembelajaran dan interaksi seperti Pertandingan Sahibba (Terbuka), Pertandingan Teka Gambar (Terbuka) dan Pertandingan Permainan Congkak (Terbuka).

    Selain itu, pengunjung juga berpeluang untuk mendengar taklimat informatif, iaitu Kempen Perangi LiLaTiN yang disampaikan oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya serta Kempen KK Bersih dan Hijau oleh Jabatan Perkhidmatan Pembersihan Bandaraya, DBKK.

    Acara kemudian diteruskan dengan Free Ride Tour S3 : KK Love Bike - KK Sunset Ride 2026 yang memberi peluang kepada peserta untuk berbasikal santai sambil menikmati keindahan panorama matahari terbenam di Bandaraya Kota Kinabalu.

    Kayuhan bermula dari KK Sentral dan melalui beberapa lokasi ikonik bandar raya, termasuk Anjung Senja, Segama Waterfront, Jeti DBKK, Sabah Tourism Board dan Menara Jam Atkinson sebelum berakhir di pekarangan Bangunan DBKK.

    Penganjuran Program KK Komuniti Sejahtera 2.0 : ‘Leave No One Behind: Towards Sustainable Market’ akan diteruskan sebagai acara bulanan pada setiap Sabtu kedua, dengan mengetengahkan tema-tema berbeza bagi menarik penyertaan masyarakat setempat dan pelancong.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Disediakan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK