Skip to main content

Berita: FLORAVENTURE | PENDIDIKAN BOTANI & ALAM SEKITAR UNTUK SEMUA

  • 17 SEPTEMBER 2026: Jabatan Botani, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah melaksanakan Program Pendidikan Botani dan Alam Sekitar melalui Pakej Floraventure bersama pelajar Pendidikan Khas SMK Taman Tun Fuad, di Taman Botani Tun Fuad Stephens Sabah pada 17 hingga 20 Ogos 2026.

    Seramai 75 orang pelajar dan ibu bapa mengambil bahagian dalam Pakej Floraventure yang julung kali dilaksanakan dengan penglibatan pelajar berkeperluan khas.

    Modul pembelajaran disesuaikan dengan memberi penekanan kepada aktiviti sensori, motor dan kesenian, bagi mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan menyeronokkan. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah jelajah mengenali herba-herba tempatan, meneroka bau dan tekstur daun serta tumbuhan, aktiviti sentuhan dan pemerhatian, serta aktiviti kesenian berasaskan alam semula jadi.

    Melalui pendekatan pembelajaran secara langsung di persekitaran taman botani, para pelajar diberi peluang untuk melihat, menyentuh, menghidu dan mengenali tumbuhan dengan cara yang lebih dekat dengan kehidupan seharian.

    Program ini mencerminkan komitmen Jabatan Botani, DBKK dalam memastikan pendidikan botani dan alam sekitar dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk pelajar berkeperluan khas.

    Sekiranya berminat untuk menyertai program pendidikan botani dan alam sekitar, hubungi 012-8366750 (Encik Jickron Jolidi) untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai pakej yang ditawarkan.

    Sumber Info: Jabatan Botani, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK