Skip to main content

Berita: PEMBERSIHAN TUMBUHAN LIAR MENJALAR PADA BANGUNAN KOMERSIAL SEKITAR PUSAT BANDAR RAYA

  • 10 MEI 2025: Seiring usaha untuk memelihara dan melestarikan imej Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya hijau dan berdaya huni, kerja-kerja pembersihan tumbuhan liar yang menjalar pada bangunan-bangunan komersial sekitar pusat bandar raya telah dilaksanakan secara berperingkat.

    Tindakan membuka tumbuhan liar di bangunan sekitar bandar raya telah dijalankan selama tiga (3) hari, mulai 05 hingga 07 Mei 2025, oleh 1StopBorneoWildlife dengan kerjasama Rotary Club Luyang dan pemilik-pemilik bangunan yang terlibat.

    1StopBorneo Wildlife merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pencinta alam sekitar yang menjalankan kerja-kerja mengumpulkan tumbuhan pokok ara yang tumbuh di dinding bangunan untuk ditanam semula di hutan. Inisiatif ini bertujuan untuk membolehkan pokok-pokok ara ini tumbuh dan berbuah sebagai makanan kepada burung.

    Sementara itu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Kawalan Bangunan dan Jabatan Landskap turut serta dalam memantau kerja-kerja pembersihan ini, bagi memastikan ia berjalan dengan lancar.

    Hasil daripada usaha sama ini, sekitar 800 tumbuhan pokok ara telah berjaya dibuka dari bangunan-bangunan komersial di Bandaran Berjaya, Kampung Air, Sinsuran dan Jalan Gaya.

    DBKK mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh pemilik-pemilik bangunan komersial sepanjang program pembersihan tumbuhan liar ini dijalankan.

    Diharap agar pemilik-pemilik bangunan sentiasa mengambil peduli ke atas penyelenggaran bangunan mereka agar sentiasa berada dalam keadaan baik dan tidak membiarkan tumbuhan liar ini tumbuh tanpa kawalan, sehingga menyukarkan kerja-kerja pembersihan.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Kawalan Bangunan, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    |JPPA, DBKK