Berita: MAYOR BANDARAYA KOTA KINABALU KETUAI ‘BRISK WALK’ DI PERDANA PARK TANJUNG ARU, TINJAU KETERSEDIAAN TAMAN
03 DISEMBER 2025: Menjelang pembukaan semula Perdana Park Tanjung Aru kepada orang awam, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengadakan sesi Brisk Walk bersama YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu di sekitar taman, pada 02 Disember 2025.
Dalam sesi ‘brisk walk’ tersebut, Dato’ Sri Mayor telah meninjau serta menilai hasil kerja-kerja pembaikan di sekitar taman yang dijangka akan dibuka semula dalam masa terdekat selepas DBKK menerima penyerahan rasmi Perdana Park Tanjung Aru.
Hadir sama ialah Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK; Encik Victor Gerard Kuasi, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Kewangan), DBKK; Ketua-ketua Jabatan, DBKK serta Pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Botani, DBKK.
Perjalanan ‘brisk walk’ bersama Dato’ Sri Mayor ini meliputi jarak keseluruhan 1,790m yang melibatkan Trek 1 (690m), Trek 2 (600m) dan Trek 3 (500m). Antara kemudahan yang telah diperiksa ialah trek joging, wakaf, bangku taman, stesen senaman, taman permainan kanak-kanak dan tandas awam.
DBKK telah menerima peruntukan daripada Kementerian Kewangan Negeri Sabah untuk melaksanakan beberapa kerja-kerja pembaikan di sekitar taman demi keselamatan dan keselesaan pengunjung, antaranya ialah pembaikan pagar, lampu, tandas serta trek joging yang uzur dan rosak. Kerja-kerja pembaikan akan diteruskan secara berperingkat, bergantung kepada peruntukan yang tersedia.
Pengumuman rasmi pembukaan semula Perdana Park Tanjung Aru boleh diperoleh orang ramai menerusi hebahan notis awam DBKK yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Botani, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDisediakan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



