Skip to main content

Berita: KOMITMEN DBKK TERHADAP PEMATUHAN KEBERSIHAN DAN KESELAMATAN PREMIS MAKANAN DI BANDARAYA KOTA KINABALU

  • -

    27 JANUARI 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil maklum penularan semula rakaman video lama yang memaparkan kehadiran ulat di dalam botol kicap sebuah premis makanan di bandar raya ini, yang kembali tular di media sosial pada 25 Januari 2026.

    DBKK telah menerima rakaman video berkenaan pada November lalu dan pemeriksaaan segera telah dilaksanakan melalui Jabatan Kesihatan dan Persekitaran Bandaraya, pada 24 November 2025.

    Menerusi tindakan ini, satu (1) notis arahan penambahbaikan telah dikeluarkan kepada pengusaha premis makanan berkenaan agar memastikan tahap kebersihan sentiasa dipatuhi selain meningkatkan langkah pencegahan.

    Sebagai komitmen berterusan DBKK terhadap keselamatan dan kebersihan makanan di bandar raya ini, satu pemeriksaan susulan telah dijalankan di premis makanan berkenaan pada 27 Januari 2026. Pemeriksaan mendapati botol-botol kicap berada dalam keadaan bersih dan selamat, selaras dengan amalan kebersihan harian premis yang akan menukar kicap setiap pagi.

    Pemeriksaan lanjut turut mendapati bahawa pengendali makanan mematuhi tatacara pemakaian yang betul, dengan memakai apron, penutup kepala dan kasut dengan baik, manakala perangkap minyak diselenggara dengan baik. Walau bagaimanapun, satu (1) kompaun telah dikeluarkan kepada pengusaha premis di atas kesalahan pengendali makanan yang tidak memiliki sijil kesihatan yang sah.

    DBKK kekal komited dalam memastikan premis makanan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu mematuhi piawaian kebersihan dan keselamatan makanan melalui pemantauan dan pemeriksaan yang berterusan, dari semasa ke semasa.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Disediakan oleh:
    Bahagian Media dan Komunikasi
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK