Berita: KUNJUNGAN HORMAT JABATAN LANDSKAP, DBKK KE UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM) CONSULTANCY & SERVICES DAN PEJABAT PERUNDING LANDSKAP, CLOUSTON DESIGN (M) LANDSCAPE ARCHITECTS
27 APRIL 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Landskap telah mengadakan kunjungan hormat kepada Perunding Landskap, Clouston Design (M) Landscape Architects dan Universiti Putra Malaysia Consultant & Services (UPMCS) Serdang, Selangor pada 15 dan 16 April 2026.
Kunjungan ini bertujuan untuk membuka ruang bagi perbincangan rangka kerja strategik dan penguatkuasaan dalam penghasilan Garis Panduan Landskap yang jelas, selaras dengan dasar sedia ada. Langkah ini sekali gus memastikan garis panduan tersebut boleh dikuatkuasakan serta meneroka potensi kerjasama dalam bidang perundingan dan penyelidikan, khususnya berkaitan dengan pembanguran dan pengurusan landskap.
Rombongan Jabatan Landskap diketuai oleh Puan Hajah Salmah Aplasin, Pengarah Jabatan Landskap, DBKK dan turut disertai oleh Datin Dr. Noridawati Abd Rahman, Ketua Bahagian Perancangan dan Pembangunan Landskap serta Puan Sherin Nur Nadzreena binti Mansur, Ketua Bahagian Kawalan Landskap dan Pengurusan Korporat.
Ketibaan rombongan telah disambut dengan penuh mesra oleh LAr. Norliza Mohd Yusof, Principal Clouston Design Landscape Architect, manakala lawatan ke UPMCS telah disambut baik oleh Puan Norfazila Said, Pengurus Besar UPMCS bersama Fakulti Rekabentuk dan Seni Bina UPM yang diketuai oleh Dekan, Profesor Gs. Dr. Mohd Johari Mohd Yusof dan Prof. Madya LAr. Dr. Suhardi Maulan.
Menerusi kunjungan ini, Jabatan Landskap, DBKK dapat mengukuhkan hubungan rasmi bersama Perunding Landskap dalam menyokong DBKK ke arah pembangunan persekitaran landskap yang berkualiti, mampan dan beridentitikan tradisi Sabah selain memastikan perancangan landskap yang tersusun dan mesra pengguna.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Landskap, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



