Berita: PROGRAM GOTONG-ROYONG PEMBERSIHAN BERSEPADU PASAR KOTA KINABALU
1 SEPTEMBER 2026: Semangat kebersamaan dan tanggungjawab menjaga kebersihan terus diperkukuh menerusi Program Gotong-Royong Pembersihan Bersepadu Pasar Kota Kinabalu anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, pada 28 Ogos 2026.
Usaha ini bertujuan memastikan kawasan pasar sentiasa berada dalam keadaan bersih, selamat, teratur, bebas daripada bau yang kurang menyenangkan dan lebih kondusif sekali gus memberikan keselesaan kepada peniaga serta pengunjung.
Program yang melibatkan keseluruhan kawasan Pasar Kota Kinabalu itu disertai seramai 460 peserta yang terdiri daripada warga DBKK, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah, Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA) serta Persatuan Penjaja Bumiputera Pantai Barat Sabah.
Hadir dalam program ini ialah Tuan Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK. Dalam ucapan alu-aluannya, beliau menyeru agar para peniaga bersama-sama memainkan peranan dalam menjaga kebersihan kawasan perniagaan masing-masing dan tidak meletakkan tanggungjawab tersebut sepenuhnya kepada DBKK.
Beliau turut mengingatkan para peniaga agar sentiasa memastikan harga barangan yang ditawarkan adalah berpatutan serta memberikan layanan yang mesra dan baik kepada pengunjung, termasuk pelawat dari dalam dan luar Sabah.
Sebelum program dimulakan, Encik Leong Tze Fui, Pengarah Jabatan Pelesenan, DBKK telah menyampaikan taklimat penugasan kepada para peserta bagi memastikan aktiviti gotong-royong dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
Pelbagai aktiviti pembersihan dilaksanakan secara bersama, antaranya pembersihan dan pengaliran parit, lantai tapak penjaja, kawasan kaki lima Pasar Besar Kota Kinabalu, Pasar Ikan, kawasan SAFMA serta pembersihan persekitaran keseluruhan pasar.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan DBKK bersama agensi dan komuniti setempat dalam membudayakan kebersihan, tanggungjawab bersama dan penjagaan persekitaran awam, khususnya di kawasan pasar yang menjadi antara lokasi tumpuan utama masyarakat dan pelancong di Kota Kinabalu.
Semangat gotong-royong dan kerjasama yang ditunjukkan dalam program ini diharap akan diteruskan oleh semua pihak, khususnya para peniaga, demi memastikan Pasar Kota Kinabalu kekal bersih, selesa dan selamat.
Sumber Info: Jabatan Pelesenan, DBKK
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



