Skip to main content

Berita: 59 TAN SAMPAH DOMESTIK BERJAYA DIKUMPUL MENERUSI PROGRAM KK CLEANUP DAY 2.0

  • -

    26 OGOS 2025: Program KK Cleanup Day 2.0 dan Pelancaran Cabaran ‘Kampungku Bersih’ Edisi Kepulauan anjuran Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah berlangsung dengan jayanya di Dataran Bandaraya, Jalan Tun Fuad Stephens, pada 23 Ogos 2025.

    Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Dalam ucapannya, Dato’ Sri Mayor berkata, program ini bukan sekadar acara kebersihan, namun merupakan manifestasi kesungguhan kolektif warga bandar raya dalam memelihara alam sekitar, membudayakan nilai kebersihan serta membina imej Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya mapan dan berdaya tahan.

    Dalam pada itu, majlis turut menyaksikan simbolik penyerahan kelengkapan Surau Medan Selera Anjung Senja yang disampaikan oleh YBhg. Datin Sri Hajah Adreen Aderizza binti Mohamad Soffi, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Daerah Kota Kinabalu kepada Dato’ Sri Mayor.

    Turut hadir ke program ini ialah YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK; barisan Pengurusan Tinggi, DBKK; Ketua-ketua Jabatan, DBKK dan Encik Reduan Aklee, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN N.22 Tanjung Aru.

    Program ini berjaya menarik penyertaan seramai 2,000 orang yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, agensi kerajaan dan swasta dengan melibatkan penggunaan 53 unit jentera bagi menyokong kelancaran operasi, termasuk lori open truck, bot penumpang, bot skimmer, skylift dan lori tangki air.

    Menerusi inisiatif ini, sebanyak 148,428 botol plastik telah berjaya dikitar semula manakala sejumlah 59 tan sampah domestik telah dikutip di kawasan kepulauan, iaitu Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar. Kesemua botol plastik yang dikumpulkan menerusi inisiatif ini telah dibeli pada harga pasaran semasa oleh rakan strategik DBKK, iaitu Prestige Recycle Technics Sdn. Bhd.

    Kejayaan program ini menjadi bukti komitmen bersama dalam usaha mewujudkan Bandaraya Kota Kinabalu yang bersih, hijau dan lestari. Terima kasih kepada semua peserta, rakan strategik, syarikat swasta serta komuniti setempat atas komitmen dan kerjasama yang padu.

    Untuk mengikuti perkembangan terkini berkaitan program-program kebersihan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu, orang ramai boleh melayari laman rasmi Facebook dan TikTok “KK Bersih dan Hijau”.

    Sumber Info: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK
    Foto: Renaldo Fernandez, Mohd. Asruddey Rusli dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK

    #KKCleanupDay
    #KKBersihDanHijau
    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK