Skip to main content

Berita: DBKK PERHEBAT USAHA PEMBERSIHAN SEKITAR BANDARAYA KOTA KINABALU, MELIBATKAN KAWASAN DARATAN DAN PERAIRAN

  • -

    30 JANUARI 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal telah melaksanakan usaha pembersihan secara menyeluruh merangkumi kawasan daratan dan perairan, selaras dengan misi DBKK untuk meningkatkan tahap kebersihan bandar raya ke arah lebih tinggi dan mampan.

    Sepanjang tempoh 18 hingga 27 Januari 2026, sebanyak 207 tan sampah telah berjaya dikutip melalui operasi pembersihan perairan yang melibatkan laut, sungai dan persisiran bandar raya, kawasan kepulauan serta kampung-kampung di persisiran. Daripada jumlah ini, sebanyak 60 tan merupakan sampah terapung di perairan laut yang telah dibersihkan dengan penggunaan skimmer boat dan bot pengangkutan sampah.

    Bagi pembersihan di daratan, tumpuan telah diberikan terhadap pematuhan jadual pengutipan sisa pepejal, penyelesaian aduan awam serta pengurusan dan pelupusan sampah haram di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti. Sebanyak 56 Ops Bersih di seluruh kawasan pusat bandar telah dilaksanakan yang menyaksikan sebanyak 127 kompaun dikeluarkan di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Bandaraya Kota Kinabalu (Anti Sampah Sarap) 1984, Pindaan 2005 melibatkan jumlah kutipan sebanyak RM2,540.

    DBKK turut melaksanakan pembersihan awam secara intensif, khususnya di kawasan tumpuan pelancong termasuklah jalan utama, lorong serta kawasan awam di pusat bandar dan luar bandar bagi memastikan persekitaran yang bersih, selesa dan teratur. Sepanjang tempoh ini, sekitar 71 tan sampah haram telah berjaya dibersihkan.

    Walau bagaimanapun, DBKK mendapati masih wujud sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengunjung yang meninggalkan bekas makanan dan sisa sampah di merata-rata tempat, atau melupuskan sisa pukal secara terus ke rumah-rumah sampah. Keadaan ini telah menyebabkan lambakan sampah yang tinggi serta membebankan perkhidmatan pengutipan sampah sedia ada.

    Penduduk di Bandaraya Kota Kinabalu diingatkan untuk menggunakan rumah sampah bagi pelupusan sisa domestik seperti sampah dapur dan sisa harian sahaja, manakala sisa pukal, sisa kebun dan sisa lain hendaklah diuruskan menggunakan khidmat syarikat luar, aplikasi iBersih, amalan pengasingan sisa boleh kitar semula atau dilupuskan terus ke tapak pelupusan yang dibenarkan.

    Sebagai langkah sokongan, JPSP turut melaksanakan Program iBersih Turun Padang Bersama Komuniti bagi menggalakkan amalan pengurusan sisa pukal dan sisa kebun secara berhemah. Program ini telah dilaksanakan sebanyak tiga (3) siri meliputi sebanyak 2,120 unit rumah melalui kaedah hebahan serta penerangan secara pintu ke pintu.

    Pelaksanaan usaha pembersihan secara berterusan ini menjadi cerminan komitmen DBKK dalam memastikan Bandaraya Kota Kinabalu kekal bersih, selesa dan lestari. Namun, usaha ini memerlukan kerjasama dan tanggungjawab bersama daripada seluruh komuniti.

    Orang awam diseru untuk terus patuh kepada peraturan pengurusan sisa, menggunakan kemudahan pelupusan dengan betul selain memelihara kelestarian bandar demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Media dan Komunikasi
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK