Berita: 103,588 BOTOL PLASTIK BERJAYA DIKUTIP MENERUSI KK CLEANUP DAY 15.0 SEMPENA ULANG TAHUN KE-26 BANDARAYA KOTA KINABALU
24 FEBRUARI 2026: Program KK Cleanup Day 15.0: Inisiatif iBersih dan Agenda Kitar Semula anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang telah berlangsung pada 14 Februari 2026 di Segama Waterfront, Jalan Tun Fuad Stephens, mencatat kejayaan membanggakan dengan impak menyeluruh kepada komuniti bandar dan kepulauan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa KK Cleanup Day kini berkembang sebagai satu gerakan bandar raya yang sistematik dan berterusan, bukan sekadar aktiviti gotong-royong, malah menjadi platform strategik memperkukuh ekonomi kitaran, digitalisasi perkhidmatan dan pembudayaan kebersihan.
Program ini berjaya menghimpunkan seramai 1,500 peserta, termasuk 150 anggota daripada Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Divisyen), Lok Kawi. Turut serta ialah pelbagai agensi kerajaan, NGO dan persatuan.
Antara institusi pengajian yang hadir ialah Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS), Almacrest International College, MSU College Sabah, UNITAR International University, Sekolah Menengah Maktab Sabah dan ramai lagi.
Turut serta memberi sokongan dan kerjasama penuh daripada pengusaha premis hotel dan kedai sekitar pusat bandar, penduduk bandar, komuniti kampung serta pertubuhan bukan kerajaan yang menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan agenda kebersihan bandar raya.
KK Cleanup Day 15.0 dilaksanakan melalui beberapa komponen utama iaitu pembersihan kawasan awam dan pusat bandar, pembersihan kawasan pasar, pembersihan perairan laut serta pembersihan Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar.
Sebanyak tujuh (7) kampung kepulauan terlibat secara langsung dalam aktiviti pengumpulan dan pengasingan sisa. Menerusi inisiatif “Kitar Semula Botol Plastik Kepulauan”, sebanyak 103,588 botol plastik berjaya dikutip untuk dikitar semula dengan kerjasama Global Plastic Recovery Sdn. Bhd. Pencapaian ini membuktikan keberkesanan pendekatan berfokus komuniti dalam mengurangkan pencemaran sisa plastik di kawasan pesisir dan laut.
Program ini turut memperkukuh pelaksanaan Cabaran ‘Kampungku Bersih’ 2026 yang berlangsung dari 14 Februari hingga 9 Mei 2026. Cabaran tahunan ini menjadi platform persaingan sihat dalam kalangan kampung bagi membudayakan pengurusan sisa yang sistematik, memperindah persekitaran serta meningkatkan penglibatan komuniti secara konsisten, termasuk kategori khas bagi kampung legasi.
Dalam aspek transformasi digital, DBKK terus memperkasakan modul iBersih dalam Aplikasi Sabah Smart Parking (SSP) yang membolehkan orang ramai menempah perkhidmatan kutipan sisa pukal dan sisa kebun secara dalam talian dengan lebih cekap dan teratur. Pendigitalan ini mencerminkan komitmen DBKK dalam membina sistem pengurusan bandar yang responsif, telus dan berasaskan data.
Selain itu, pelaksanaan Reverse Vending Machine (RVM) minyak masak terpakai serta kempen pengasingan sisa dari punca dan pengkomposan sisa makanan kawasan komersial turut menjadi pelengkap kepada pendekatan menyeluruh ke arah bandar raya pintar dan lestari.
Secara keseluruhannya, kejayaan KK Cleanup Day 15.0 membuktikan bahawa agenda kebersihan dan kelestarian di Kota Kinabalu sentiasa diperkasa dan ditambah baik dari semasa ke semasa melalui kolaborasi pelbagai pihak, penglibatan komuniti serta inovasi teknologi.
DBKK merakamkan penghargaan kepada semua peserta, pengusaha premis, komuniti kampung, NGO, agensi terlibat dan rakan strategik atas kerjasama padu dalam memastikan Kota Kinabalu terus kekal sebagai bandar raya yang bersih, hijau dan berdaya tahan.
Untuk mengikuti perkembangan terkini berkaitan program kebersihan dan kitar semula di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu, orang ramai boleh melayari laman rasmi Facebook dan TikTok “KK Bersih dan Hijau”.
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Unit Penerangan, Pejabat Mayor DBKK
Bella Berhaman
Pegawai PeneranganMohd. Asruddey Rusli / Renaldo Fernandez
JurugambarSumber utama:
Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP)



