Skip to main content

Berita: DBKK MENEROKA PERANCANGAN PENUBUHAN GALERI WARISAN SEJARAH KOTA KINABALU (JESSELTON)

  • -

    24 FEBRUARI 2026 : Pada 16 Februari 2026, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menerima satu kunjungan bersejarah dan bermakna sebagai sebahagian daripada usaha awal meneroka perancangan penubuhan sebuah Galeri Warisan yang bertujuan mendokumentasikan serta mengetengahkan sejarah penubuhan dan perkembangan Kota Kinabalu, yang dahulunya dikenali sebagai Jesselton.

    Kunjungan ini menjadi signifikan dengan kehadiran Sir George Jessel, seorang tokoh yang mempunyai hubungan langsung dengan legasi sejarah awal bandar raya ini sebagai wakil dan waris kepada keluarga Jessel.

    Nama Jesselton sendiri diabadikan bersempena dengan Sir Charles James Jessel, bekas Naib Pengerusi British North Borneo Company (BNBC), yang memainkan peranan penting di peringkat kepimpinan tertinggi syarikat tersebut dalam merangka dasar pentadbiran dan hala tuju pembangunan pusat pentadbiran baharu di pantai barat Borneo Utara pada akhir abad ke-19. Perkembangan inilah yang kemudiannya menjadi asas kepada pembentukan Jesselton dan evolusinya sebagai Kota Kinabalu hari ini.

    Kehadiran Sir George Jessel dalam kunjungan ini melambangkan satu hubungan sejarah yang merentasi generasi, sekaligus memberi nilai simbolik dan akademik yang tinggi kepada usaha DBKK dalam merungkai, mendokumentasikan dan mempersembahkan sejarah bandar raya ini secara berfakta, seimbang dan berwibawa.

    Turut hadir sama Datuk Joniston Bangkuai, Menteri yang bertanggungjawab kepada DBKK, Bersama Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, barisan pengurusan tertinggi DBKK serta pegawai kanan. Kehadiran kepimpinan Kerajaan Negeri dan DBKK ini mencerminkan sokongan padu terhadap agenda pemeliharaan warisan bandar sebagai komponen penting dalam pembangunan bandar raya yang beridentiti dan berdaya saing.

    Perbincangan yang diadakan memberi tumpuan kepada potensi penubuhan Galeri Warisan Kota Kinabalu sebagai sebuah pusat rujukan sejarah yang komprehensif, merangkumi pengumpulan artifak, dokumen arkib, bahan visual, serta penceritaan sejarah yang berasaskan kajian, penyelidikan dan pendekatan interpretatif moden.

    Galeri ini dihasratkan berfungsi bukan sahaja sebagai ruang pameran, malah sebagai platform pendidikan, penyelidikan dan kesedaran awam yang menghubungkan sejarah silam bandar raya dengan konteks pembangunan semasa dan masa hadapan.

    DBKK berpandangan bahawa pemeliharaan dan pendokumentasian sejarah bandar merupakan elemen asas dalam pembentukan jati diri, kefahaman kolektif serta kelestarian pembangunan bandar raya. Inisiatif meneroka penubuhan Galeri Warisan ini selari dengan aspirasi untuk memperkasa pelancongan berteraskan warisan, memperkayakan wacana sejarah tempatan dan memastikan legasi Kota Kinabalu terus dipelihara sebagai khazanah bernilai untuk generasi kini dan akan datang.

    Dikeluarkan oleh:

    Unit Penerangan, Pejabat Mayor DBKK
    Bella Berhaman
    Pegawai Penerangan

    Mohd. Asruddey Rusli
    Jurugambar