Skip to main content

Berita: PEMERIKSAAN PASCA KEMPEN DI PASAR MALAM API-API NIGHT FOOD MARKET BERSEMPENA DENGAN KEMPEN PASAR MALAM BERSIH TAHUN 2026

  • -

    10 JULAI 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah melaksanakan Pemeriksaan Pasca Kempen di Pasar Malam Api-Api Night Food Market bersempena dengan Kempen Pasar Malam Bersih Tahun 2026 pada 3 Julai 2026.

    Pemeriksaan ini dilaksanakan bagi memastikan para penjaja dan pengendali makanan mematuhi syarat serta peraturan yang telah ditetapkan, khususnya yang melibatkan aspek keselamatan makanan, kebersihan premis dan kesihatan awam.

    Operasi yang bermula pada jam 6.30 petang ini melibatkan seramai 53 anggota daripada pelbagai jabatan DBKK, iaitu Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya, Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan.

    Antara aspek yang diberi tumpuan semasa pemeriksaan termasuk pematuhan pengendali makanan, tahap kebersihan lot gerai, kaedah penyimpanan makanan yang selamat, pemakaian pakaian pelindung diri seperti apron, penutup kepala dan kasut yang bersesuaian, serta penyediaan tong sampah bagi memastikan persekitaran perniagaan yang bersih dan teratur.

    Pemeriksaan telah dijalankan ke atas 133 lot yang melibatkan seramai 315 pengendali makanan. Hasil operasi tersebut, sebanyak lima (5) kompaun telah dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja 1966 (Pindaan 2008) atas kesalahan tidak memiliki sijil kesihatan yang sah.

    DBKK akan terus mempergiatkan usaha pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan aspek kebersihan, keselamatan makanan dan pematuhan peraturan sentiasa berada pada tahap yang baik.

    Sumber Info: Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya, DBKK
    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Disediakan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK