Skip to main content

Berita: SAMBUTAN HARI PAHLAWAN PERINGKAT NEGERI SABAH 2026, MEMPERINGATI JASA DAN PENGORBANAN WIRA TANAH AIR

  • -

    17 OGOS 2026: Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah 2026 telah berlangsung dalam suasana penuh istiadat dan semangat patriotik bagi memperingati jasa dan pengorbanan wira tanah air yang telah berjuang mempertahankan kedaulatan negara, di Tugu Pahlawan, Taman Ujana Rimba Tropika pada 14 Ogos 2026.

    Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Zainudin bin Aman, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah mewakili YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah.

    Turut hadir ialah YBhg. Datuk Razali bin Wahab, Setiausaha Persekutuan Sabah; YBhg. Mejar Jeneral Datuk Shamsor bin Hj. Jaafar, Panglima Lima Divisyen; YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu selaku Pengerusi Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah 2026; YBhg. SAC Datuk Abd Rahman bin Ishak mewakili Pesuruhjaya Polis Sabah dan YBhg. Komander Ts. Leong Tzu Hou mewakili Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    Tirai majlis dibuka dengan acara menaikkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah, diikuti dengan nyanyian penuh semangat lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku. Majlis kemudiannya diteruskan dengan tiupan “Last Post”, sesi bertakafur selama 20 saat sebagai tanda penghormatan terhadap para wira negara yang telah gugur dan tiupan “Rouse”.

    Majlis turut menyaksikan persembahan deklamasi sajak bertajuk “Merdeka Itu Kedaulatan Bangsa” yang disampaikan oleh Puan Dayana Chacho serta persembahan nyanyian lagu-lagu patriotik oleh barisan penyanyi DBKK dan DBKK Holdings Sdn. Bhd. (DBKKH).

    Sebanyak 12 kontinjen perbarisan statik turut mengambil bahagian dalam majlis ini, melibatkan kontinjen Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Penguatkuasaan, DBKK.

    Terdahulu, Majlis Kesyukuran Hari Pahlawan Negeri Sabah 2026 telah berlangsung di Masjid Negeri Sabah pada 31 Julai 2026 yang dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah.

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK