Skip to main content

Berita: PROGRAM PENANAMAN 2,500 POKOK BAKAU DI SEPANJANG LAGUN LIKAS, USAHA KOLEKTIF PENJAGAAN KELESTARIAN ALAM SEKITAR

  • 26 FEBRUARI 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Landskap telah mengadakan Program Penanaman 2,500 Pokok Bakau di Sepanjang Lagun Likas sebagai inisiatif signifikan dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar di Bandaraya Kota Kinabalu, pada 25 Februari 2025.

    Objektif utama program ini ialah untuk memulihara dan mengembalikan spesis bakau di kawasan bandar raya yang turut menjadi antara keunikan Kota Kinabalu, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan hutan paya bakau kepada ekosistem.

    Majlis Perasmian program yang diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu ini telah disempurnakan oleh Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK yang hadir mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.

    Dalam teks ucapannya, Dato’ Sri Mayor berkata, program ini bertujuan untuk memulihara dan mengembalikan spesis bakau di dalam kawasan bandar raya, yang bukan hanya menjadi elemen keunikan Kota Kinabalu, tetapi turut memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekosistem.

    Tambah beliau, program ini juga berperanan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan hutan paya bakau serta mewujudkan persekitaran yang lebih lestari dan indah.

    Menerusi program ini, sebanyak 2,500 pokok bakau spesis Bakau Kurap atau nama saintifiknya ‘Rhizophora mucronata’ telah ditanam di sepanjang Lagun Likas.

    Usaha ini turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak, antaranya ialah Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Wetland Conservation Society, Komuniti Kg. Darau Ecotourism, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Politeknik Kota Kinabalu dan Almacrest International College.

    Hadir sama dalam program ini ialah Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK; Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan), DBKK; Prof. Madya Dr. Berhaman Ahmad, Pensyarah Perhutanan, Universiti Malaysia Sabah (UMS); LAr Eric Ye Lee Tsen, Presiden Institut Landskap Arkitek Malaysia (Sabah Chapter); Encik Zulkifli Suara, Timbalan Ketua Konservator Hutan, Jabatan Perhutanan Sabah dan Puan Darna Badawi, Pengarah Jabatan Landskap, DBKK.

    Sebelum majlis berakhir, rombongan ini berkesempatan untuk meninjau persekitaran di sepanjang Sungai Darau, termasuk kerja-kerja penanaman pokok bakau yang dilakukan oleh para sukarelawan di Kampung Darau, Manggatal.

    Selain meningkatkan kualiti alam sekitar dan nilai estetika sebagai daya tarikan pelancong, program ini juga menjadi bukti sokongan terhadap usaha penghijauan Malaysia melalui kempen penanaman 100 juta pokok menjelang 2025.

    Semoga program ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif yang melibatkan usaha memelihara dan memulihara alam sekitar, seiring matlamat menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya bersih, indah dan berdaya huni!

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez & Pejabat Ketua Pengarah, DBKK

    #SambutanUTB25JubliPerak
    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK