Berita: HARI BERTEMU PELANGGAN DBKK 2025, KE ARAH PENINGKATAN SISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN
05 OKTOBER 2025: Dalam usaha memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menganjurkan Hari Bertemu Pelanggan DBKK 2025, bertempat di pekarangan Bangunan DBKK pada 04 Oktober 2025.
Program yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini memberi peluang kepada orang awam untuk berinteraksi secara langsung dengan barisan Pengurusan Tinggi DBKK bagi menyalurkan aduan serta cadangan penambahbaikan terhadap mutu perkhidmatan DBKK.
Hadir dalam program ini ialah YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu bersama isteri, YBhg. Datin Sri Hajah Adreen Aderizza binti Mohamad Soffi, selaku Pengerusi PUSPANITA Cawangan Daerah Kota Kinabalu; YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK; Timbalan-timbalan Ketua Pengarah, DBKK; Ketua-ketua Jabatan, DBKK dan Encik Jimon Jahim, Pengarah Eksekutif DBKK Holdings Sdn. Bhd.
Turut membuka kaunter bersempena dengan Hari Bertemu Pelanggan DBKK 2025 ialah agensi-agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah (JPPS), Sabah Electricity (SE) serta syarikat konsesi, iaitu Globinaco Sdn. Bhd. dan Pembinaan Kekal Mewah Sdn. Bhd.
Kehadiran lebih 500 pengunjung telah memenuhi pekarangan Bangunan DBKK, di mana mereka mengunjungi kaunter aduan serta menyelesaikan bayaran kompaun bersempena dengan Pengampunan Kompaun Tempat Letak Kereta & Lalu Lintas DBKK yang telah dilanjutkan hingga 05 Oktober 2025.
Orang ramai turut mengambil peluang untuk mendaftar sebagai ahli di reruai Smart City Friends (SCF), di mana mereka turut menyertai aktiviti-aktiviti menarik seperti pameran interaktif dan kuiz.
Dalam penganjuran Hari Bertemu Pelanggan pada kali ini, DBKK turut mengalu-alukan penglibatan ahli Smart City Friends, iaitu mahasiwa daripada MSU College Sabah, bagi mencapai salah satu objektifnya iaitu mengambil bahagian dalam program kemasyarakatan DBKK.
Turut menjadi tumpuan orang ramai adalah pembukaan Kaunter eKasih di mana telah berlangsung agihan borang permohonan serta semakan pendaftaran eKasih.
Dato’ Sri Mayor telah mengunjungi reruai Smart City Friends, di mana beliau terlebih dahulu menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung yang telah mendaftar sebagai ahli Smart City Friends bersempena dengan Hari Bertemu Pelanggan DBKK 2025, sebelum merakam gambar kenangan bersama ahli-ahli Smart City Friends.
Sebelum program berakhir, Dato’ Sri Mayor turut menyantuni para peniaga di Bazar Komuniti yang diadakan di Lintasan Deasoka.
Semoga penganjuran Hari Bertemu Pelanggan DBKK 2025 ini dapat menjadi pemangkin kepada perhubungan dan pengaduan awam yang lebih berkualiti dan bersifat inklusif.
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



