Berita: MAJLIS PRA PELANCARAN HALA TUJU SMART CITY FRIENDS (SCF)
5 Disember 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus memperkukuh agenda bandar pintar melalui penganjuran Majlis Pra Pelancaran Hala Tuju Smart City Friends (SCF) yang telah disempurnakan oleh Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, pada 3 Disember lalu.
Majlis ini menjadi landasan penting dalam menghimpunkan DBKK, NGO, institusi akademik dan komuniti setempat di bawah satu gerakan komuniti pintar yang lebih tersusun, inklusif dan berdaya saing.
Pra pelancaran ini menandakan fasa permulaan gerakan Smart City Friends, yang berperanan menggerakkan keterlibatan awal masyarakat dalam agenda bandar pintar. Usaha ini turut membuka laluan kepada penyertaan lebih meluas daripada warga bandar raya, selaras dengan pelaksanaan Hala Tuju 5 Tahun yang akan digerakkan secara menyeluruh mulai 2026.
Melalui pelaksanaan awal ini, DBKK mengharapkan lebih ramai rakyat tampil sebagai rakan strategik dalam mendukung pembangunan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar pintar yang mampan dan berdaya saing.
Selari dengan aspirasi tersebut, Mayor dalam ucapannya menegaskan bahawa SCF diwujudkan sebagai platform penyatuan suara rakyat dan keupayaan DBKK, di mana rakyat tidak lagi hanya menjadi pemerhati, tetapi co-pilot dalam memacu pembangunan Kota Kinabalu ke arah sebuah bandar yang lebih bersih, selamat, cekap, inklusif dan berdaya tahan.
Beliau turut menekankan bahawa pengiktirafan Kota Kinabalu sebagai Smart City Early Adopter 2025 merupakan pemangkin penting yang menuntut pelaksanaan teknologi seperti IoT, AI, smart mobility dan data bandar diterjemahkan kepada manfaat langsung untuk rakyat.
Dalam kerangka pelaksanaannya, Hala Tuju Smart City Friends memberi penekanan kepada pembentukan komuniti yang benar-benar bergerak dan terlibat aktif dalam agenda bandar pintar.
Pendekatan ini dilaksanakan melalui empat komponen utama yang saling melengkapi, pengupayaan komuniti digital, pendedahan kepada infrastruktur pintar, peningkatan kesedaran mengenai kepentingan data serta penggerakan tindakan lapangan seperti gotong-royong pintar, rondaan komuniti, kesiapsiagaan bencana dan pemantauan kawasan. Pendekatan menyeluruh ini dirangka bagi melahirkan komuniti yang responsif, berpengetahuan serta mampu bertindak sebagai rakan strategik DBKK dalam pembangunan bandar pintar.
DBKK yakin bahawa SCF akan menjadi tulang belakang sosial dalam perjalanan menuju Kota Kinabalu Smart City 2030, memastikan setiap inisiatif teknologi dan inovasi bukan sahaja berjaya dilaksanakan, tetapi terus memberi kesan nyata kepada kesejahteraan rakyat dan kemajuan bandar raya.
Melalui kerjasama erat antara DBKK, komuniti, akademia dan NGO, agenda bandar pintar ini diyakini mampu membentuk masa depan Kota Kinabalu yang lebih maju, mampan dan membanggakan.
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestari
#SmartCityFriends
#SmartCityKK2030Laporan disediakan oleh:
Unit Penerangan, Pejabat Mayor DBKK
Bella Berhaman
Pegawai PeneranganMohd. Asruddey Rusli
Jurugambar



