Berita: KARNIVAL PERAYAAN KRISMAS INANAM 2025, SEMAI NILAI KEHARMONIAN DAN PERPADUAN DALAM KALANGAN MASYARAKAT
23 DISEMBER 2025: Dalam memaknai tema “Saved By Grace”, Karnival Perayaan Krismas Inanam 2025 telah berlangsung dalam suasana penuh meriah bagi meraikan semangat keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat, di Pekan Inanam, pada 20 dan 21 Disember 2025.
Karnival yang berlangsung selama dua (2) hari ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.15 Kiulu dan merupakan anjuran Majlis Gereja-Gereja Inanam (MGGI) bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Hadir sama dalam majlis ini ialah YB Datuk Johnny Goh, mantan ADUN Inanam merangkap Presiden Persatuan Sino Kadazan Dusun Murut (Sino KDM) Sabah; Encik Victor Gerard Kuasi, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pengurusan Kewangan), DBKK mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu; Pastor Nickson Majiau, Ahli Exco Majlis Gereja-Gereja Sabah (SCC) mewakili Presiden SCC; Pastor Bios Solingkin, Pengerusi Majlis Gereja-Gereja Inanam (MGGI) merangkap Pastor SIB Metro City Mall dan Reverend Sabry Daniel, Pengerusi Majlis Gereja-Gereja Manggatal (MGGM) merangkap Paderi Penguasa, Gereja Anglikan Manggatal & Gereja Anglikan Telipok.
Tirai sambutan dibuka dengan persembahan tarian kreatif dan bertenaga oleh kumpulan Empower Gen yang menampilkan bakat-bakat daripada generasi muda, sebelum diteruskan dengan persembahan nyanyian dan koir lagu-lagu Krismas yang telah menyemarakkan lagi suasana harmoni di sekitar tapak acara.
Sepanjang karnival ini berlangsung, antara kumpulan yang telah membuat persembahan ialah Gabungan Gereja-gereja Inanam; Gereja Basel Christian Church of Malaysia (BCCM), Sepanggar; Gereja PCS Manggatal; Gereja Roman Catholic St. Catherine, Inanam; Gereja Baptis Kionsom, Inanam; Gereja Seventh-Day Adventist (SDA); Gereja Anglikan Kristus Bangkit, Inanam dan Borneo Praise Music.
Persembahan nyanyian istimewa daripada artis-artis tempatan, iaitu Pasqueletta Joan dan Marlleynney Fane Pau, telah disambut penuh meriah oleh pengunjung yang hadir.
Sepanjang dua hari Karnival Perayaan Krismas Inanam 2025, orang ramai yang hadir juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil bahagian dalam Cabutan Berkat dan penyampaian Hadiah Krismas dan Bakul Makanan.
Semoga penganjuran Karnival Perayaan Krismas Inanam 2025 ini terus menjadi wadah dalam menyemai nilai keharmonian dalam kalangan masyarakat.
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



