Berita: DBKK LAKSANA OPS BERSEPADU TAPAK BINA, AMBIL TINDAKAN TEGAS TERHADAP KETIDAKPATUHAN
03 FEBRUARI 2026: Dalam usaha untuk meningkatkan pematuhan kontraktor terhadap peraturan yang ditetapkan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Kawalan Bangunan telah melaksanakan Ops Bersepadu Tapak Bina di beberapa tapak projek yang terdapat di sekitar bandar raya, pada 31 Januari dan 01 Februari 2026.
Operasi bersepadu yang berlangsung selama dua (2) hari ini melibatkan seramai 18 anggota DBKK daripada Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Kejuruteraan dan Jabatan Penguatkuasaan.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan pada hari pertama, dua (2) kompaun telah dikeluarkan di bawah Undang-undang Kecil (UUK) (Bangunan) 1951, atas kesalahan melakukan kerja-kerja melebihi had masa yang diluluskan oleh DBKK. Selain itu, anggota yang bertugas turut bertindak untuk menyita dua (2) alat panel kawalan lif pengangkut, dua (2) bateri lori 10 tan serta kunci lori.
Operasi pemantauan pematuhan diteruskan pada hari kedua, susulan aduan awam yang diterima mengenai pihak pemaju sebuah tapak bina yang tidak mematuhi hari dan tempoh masa kerja yang dibenarkan.
Pemeriksaan lanjut mendapati bahawa tapak berkenaan melakukan kerja-kerja pembinaan melebihi had masa yang dibenarkan. Oleh itu, satu (1) kompaun telah dikeluarkan kepada pihak pemaju dan peralatan kimpalan (welding set) telah disita.
DBKK menegaskan bahawa semua pemaju dan kontraktor di Bandaraya Kota Kinabalu perlu mematuhi syarat kelulusan pelan bangunan serta peruntukan di bawah UUK (Bangunan) 1951. Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan tindakan penguatkuasaan diambil, sebagai langkah tegas demi menjaga kesejahteraan orang awam.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Kawalan Bangunan, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDisediakan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



