Berita: PROGRAM INISIATIF IHSAN FOOD BANK (i-FB) SANTUNI KOMUNITI @ DAPUR KITA-KITA
11 APRIL 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus komited dalam menyokong usaha kebajikan masyarakat menerusi penglibatan dalam Program Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) Santuni Komuniti @ Dapur Kita-Kita yang berlangsung dengan jayanya di Dapur Kita-Kita, Bandaran Berjaya, hari ini.
Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Armizan bin Mohd. Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), yang tiba sekitar pukul 11.00 pagi. Ketibaan beliau disambut oleh Yang Berbahagia Datuk Koh Chung Jade, Pengarah Urusan Jetsin Sdn. Bhd., bersama Tuan Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK.
Menerusi program ini, Yang Berhormat Menteri turut meluangkan masa mengadakan lawatan ke premis Jetsin Sdn. Bhd. dan Dapur Kita-Kita bagi meninjau operasi serta memahami peranan kedua-dua entiti dalam menyantuni komuniti setempat.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, sebanyak 200 pek makanan telah diagihkan kepada golongan yang memerlukan melalui Sesi Santunan Komuniti.
Program anjuran KPDN dengan sokongan Jetsin Sdn. Bhd., Persatuan Dapur Kita Sabah serta DBKK ini turut diserikan dengan acara menandatangani plak Kerjasama Strategik – Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) sebagai simbol komitmen dan sinergi antara KPDN dan Jetsin Sdn. Bhd. dalam menjayakan inisiatif Food Bank Malaysia.
Dapur Kita-Kita merupakan dapur komuniti pertama di bandar raya Kota Kinabalu yang berteraskan konsep “Dari Komuniti Untuk Komuniti”. Ia telah dirasmikan pada 19 Februari 2025 lalu oleh Yang Amat Mulia Paduka Puteri Tunku Mariamz binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Inisiatif ini diterajui oleh Jetsin Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Cef Sabah serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dengan matlamat membantu golongan memerlukan termasuk pekerja berpendapatan rendah, keluarga pesakit hospital dan komuniti bandar.
DBKK sentiasa menyokong usaha dan inisiatif penubuhan dapur komuniti seperti Dapur Kita-Kita yang telah secara tidak langsung menyumbang kepada pemupukan nilai keprihatinan, kebersamaan serta solidariti sosial dalam memperkukuh kesejahteraan hidup warga bandar raya Kota Kinabalu, khususnya mereka yang memerlukan.
Turut hadir ialah Tuan Shahril Nizam bin Shahidin, Pengarah KPDN Negeri Sabah serta Puan Hajah Jamaliah Basir, Pengarah Jabatan Pengurusan Harta (JPH), DBKK.
Sumber Info: Jabatan Pengurusan Harta, DBKK
Sumber Foto: Jetsin Sdn. Bhd. dan Jabatan Pengurusan Harta, DBKK#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam,
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



