Skip to main content

Berita: DBKK RAIH MALAYSIA LANDSCAPE ARCHITECTURE AWARDS (MLAA16) BAGI PROJEK KEBUN BANDAR KOTA KINABALU

  • -

    22 JUN 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus mencipta kecemerlangan apabila Projek Kebun Bandar Kota Kinabalu berjaya merangkul Malaysia Landscape Architecture Awards (MLAA16) 2026 bagi Kategori Kerajaan (6A: Green Initiative Award), sekali gus mengharumkan nama DBKK di peringkat kebangsaan.

    Anugerah berprestij ini telah diterima oleh YBrs. Tuan Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK dalam Majlis Gala Malaysia Landscape Architecture Awards yang berlangsung di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur pada 20 Jun 2026.

    Hadir sama ialah Hajah Salmah Aplasin, Pengarah Jabatan Landskap, DBKK, pegawai-pegawai Jabatan Landskap dan Jabatan Botani DBKK serta wakil Komuniti Kebun Bandar Kota Kinabalu.

    Projek Kebun Bandar Kota Kinabalu, DBKK berjaya muncul sebagai pemenang Kategori Kerajaan (6A: Green Initiative Award) selepas bersaing dengan lebih 30 agensi kerajaan dari seluruh Malaysia. Lebih membanggakan, DBKK satu-satunya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah yang berjaya meraih pengiktirafan dalam MLAA16 2026.

    Pencapaian ini membuktikan keberkesanan pendekatan DBKK dalam memperkasakan pembangunan bandar hijau melalui penglibatan aktif komuniti dan pelaksanaan inisiatif berteraskan kelestarian.

    Penilaian anugerah memberi penekanan kepada aspek inovasi, kelestarian, penyelesaian berasaskan alam semula jadi (Nature-based Solutions), impak sosial, penglibatan komuniti serta sumbangan kepada Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals - SDG 2030).

    Program Kebun Bandar Kota Kinabalu merupakan antara inisiatif utama DBKK dalam memperkasakan pertanian bandar berasaskan komuniti. Program ini bukan sahaja menyumbang kepada keselamatan makanan bandar, malah meningkatkan kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar, mengukuhkan jaringan sosial komuniti serta mempertingkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.

    Melalui kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, komuniti dan rakan strategik, Program Kebun Bandar Kota Kinabalu telah membuktikan bahawa pendekatan kolaboratif mampu menghasilkan perubahan positif yang berterusan kepada masyarakat dan persekitaran bandar.

    Malaysia Landscape Architecture Awards (MLAA) merupakan platform pengiktirafan tertinggi profesion seni bina landskap di Malaysia yang dianjurkan oleh Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM). Pada tahun ini, majlis tersebut telah menghimpunkan lebih 700 penggiat industri landskap dari dalam dan luar negara serta menerima lebih 120 penyertaan yang dipertandingkan dalam 20 kategori anugerah.

    DBKK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan strategik, komuniti Kebun Bandar, warga kerja DBKK serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan inisiatif ini sehingga memperoleh pengiktirafan di peringkat kebangsaan.

    Kejayaan ini diharap akan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan DBKK dalam merealisasikan misi menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandar raya yang bersih, hijau dan berdaya huni.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Landskap, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK