Berita: DBKK LAKSANA OPS BERSIH: FULL FORCE DI LOKASI TUMPUAN SEKITAR BANDARAYA KOTA KINABALU
10 JULAI 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Perkhidmatan Pembersihan Bandaraya telah melaksanakan Ops Bersih: Full Force di beberapa lokasi tumpuan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu pada 3 Julai 2026.
Operasi berskala besar ini memberi tumpuan kepada kawasan Segama Waterfront, Jeti DBKK, Sinsuran, KK Plaza, Pasar Besar Kota Kinabalu, Segama dan Centre Point.
Seramai 13 anggota Unit Kawal Selia, Jabatan Perkhidmatan Pembersihan Bandaraya, DBKK telah terlibat dalam operasi yang berlangsung dari jam 6.00 petang hingga 11.00 malam.
Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 21 kompaun bayar serta-merta telah dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Anti Sampah Sarap 1984 (Pindaan 2005) terhadap individu yang didapati membuang sampah di kawasan awam.
Pelaksanaan operasi ini membuktikan komitmen berterusan DBKK dalam memperkukuh penguatkuasaan, meningkatkan tahap kebersihan bandaraya serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang demi kesejahteraan warga Kota Kinabalu.
DBKK akan terus memperhebat dan melaksanakan operasi seumpama ini secara berterusan di lokasi-lokasi tumpuan. Sehubungan itu, orang awam diseru untuk memberikan kerjasama dengan mengamalkan sikap bertanggungjawab, membuang sampah di tempat yang disediakan serta bersama-sama memelihara kebersihan Bandaraya Kota Kinabalu.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Perkhidmatan Pembersihan Bandaraya, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDisediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



