Skip to main content

Berita: PROGRAM PENDIDIKAN BOTANI DAN ALAM SEKITAR – PAKEJ FLORAVENTURE BERSAMA SMK TAMAN TUN FUAD

  • -

    20 JULAI 2026: Jabatan Botani, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menerima kunjungan daripada seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan guru pengiring SMK Taman Tun Fuad, bertempat di Taman Botani Tun Fuad Stephens Sabah, pada 10 Julai 2026.

    Rombongan ini telah menyertai Program Pendidikan Botani dan Alam Sekitar - Pakej Floraventure. Melalui aktiviti MISI Hijau, para peserta didedahkan kepada keunikan dunia tumbuhan dengan mengenali pelbagai spesies menarik seperti orkid, periuk kera serta tumbuhan lain yang terdapat di taman botani.

    Menerusi aktiviti ini, para pelajar berpeluang untuk memahami ciri-ciri tumbuhan, kepentingan biodiversiti serta peranan pemuliharaan alam sekitar secara lebih dekat dan interaktif. Program diteruskan dengan aktiviti membina mini terarium di mana setiap peserta menghasilkan terarium mereka sendiri menggunakan tumbuhan yang sesuai.

    Peserta turut membawa pulang terarium yang dihasilkan sebagai tanda kenangan dan diharapkan menjadi inspirasi untuk terus memupuk minat terhadap penjagaan tumbuhan dan kelestarian alam sekitar.

    Jabatan Botani, DBKK merakamkan penghargaan kepada warga SMK Taman Tun Fuad, Kota Kinabalu atas penyertaan dan kerjasama yang diberikan sepanjang program berlangsung.

    Sekiranya terdapat agensi kerajaan, swasta, organisasi, institusi pengajian tinggi dan sekolah yang berminat untuk mengikuti Pakej Pendidikan Botani & Alam Sekitar yang ditawarkan, sila hubungi Encik Jickron Jolidi (012-8366750) untuk pertanyaan lanjut.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Botani, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK