Berita: DEWAN BANDARAYA KOTA KINABALU, AGENSI PENGUAT KUASA PERKUKUH PENGUATKUASAAN MELALUI OPERASI TODAK
7 OGOS 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah dan Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA) telah menyelaraskan Operasi Todak, pada 4 Ogos 2026.
Operasi bersepadu yang dilaksanakan bermula jam 11 malam ini tertumpu di kawasan SAFMA, Pasar Besar Kota Kinabalu dan perairan di sekitarnya.
Dalam operasi ini, JIM telah membuat pemeriksaan ke atas 521 Orang Yang Diperiksa (OYDP) dan menahan seramai 10 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Mereka telah dihantar ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.
Bagi kawasan perairan, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah dengan kerjasama APMM telah membuat pemeriksaan ke atas empat (4) buah bot, manakala lesen asal sebuah bot telah ditahan berikutan kesalahan melibatkan dokumen pengenalan pelaut warga asing yang telah tamat tempoh. Kedua agensi ini turut memainkan peranan untuk mengesan dan mengambil tindakan segera sekiranya terdapat individu yang bertindak terjun ke laut bagi tujuan melarikan diri.
Sementara itu, APMM telah menggerakkan dua (2) aset maritim melibatkan 14 anggota bagi membuat pemeriksaan ke atas sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT). Hasil pemeriksaan, seramai tujuh (7) kru telah diperiksa dan diserahkan kepada JIM untuk tindakan lanjut.
Dari aspek penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan, DBKK telah mengambil tindakan kompaun terhadap dua (2) penjaja yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen yang sah di kawasan SAFMA dan Pasar Besar Kota Kinabalu. Tindakan penguatkuasaan turut melibatkan penyitaan sebuah motosikal dan beberapa alatan yang digunakan untuk menjalankan perniagaan.
Bagi memastikan operasi berlangsung dalam keadaan selamat dan terkawal, PDRM turut menggerakkan seramai 21 anggota yang daripada Balai Polis Kota Kinabalu, Team Cantas dan Pasukan Polis Marin.
Hadir menguatkan aspek keselamatan, ketenteraman serta kelancaran Operasi Todak, sebanyak 35 anggota Jabatan Penguatkuasaan, DBKK telah dikerahkan untuk menjalankan tugas pengawasan dan kawalan di kawasan operasi.
DBKK akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bersepadu secara berkala bagi memastikan Kota Kinabalu kekal sebagai sebuah bandar raya yang bersih, selamat, teratur dan berdaya huni.
Sumber Info: Jabatan Pelesenan, DBKK
Foto: Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



