Berita: DBKK LAKSANA OPERASI PEMATUHAN KE ATAS TAPAK PEMBINAAN DI KEPAYAN
03 SEPTEMBER 2025: Bertindak atas aduan yang diterima, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah melaksanakan operasi pematuhan di sebuah tapak pembinaan yang terletak di Kepayan, pada 02 September 2025.
Operasi yang dijalankan bermula 8.00 malam ini melibatkan usaha sama daripada seramai 16 anggota DBKK dari pelbagai jabatan, iaitu Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Kejuruteraan dan Jabatan Penguatkuasaan.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat ketidakpatuhan daripada pihak pemaju. Oleh itu, DBKK telah memberikan amaran secara lisan kepada semua pekerja di tapak pembinaan berkenaan untuk menghentikan kerja serta-merta.
Selain itu, anggota DBKK yang bertugas turut menyita kunci kepada empat buah jentera, termasuk lori dan kren yang digunakan untuk aktiviti tapak, melewati masa bekerja yang dibenarkan. Dua keping kompaun turut dikeluarkan dibawah Undang-undang Kecil (Bangunan) 1951.
Sebagai makluman, Kelulusan Pelan Bangunan ada memaklumkan bahawa kerja-kerja pembangunan atau pengubahsuaian dibenarkan untuk dijalankan pada Isnin hingga Sabtu, bermula 7.30 pagi hingga 6.00 petang sahaja. Manakala, Ahad dan cuti umum adalah tidak dibenarkan sama sekali.
DBKK menegaskan bahawa setiap pemaju dan kontraktor bertanggungjawab untuk mematuhi syarat kelulusan pelan bangunan serta peruntukan Undang-Undang Kecil (Bangunan) 1951. Kegagalan berbuat demikian akan dikenakan tindakan tegas demi menjaga kesejahteraan orang awam dan keharmonian bandar raya.
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariSumber Info dan Foto: Jabatan Kawalan Bangunan, DBKK
Disediakan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



