Berita: KUNJUNGAN HORMAT KONSULAT JENDERAL REPUBLIK INDONESIA (KJRI) KEPADA DEWAN BANDARAYA KOTA KINABALU
23 Disember 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menerima kunjungan hormat daripada Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu pada 18 Disember 2025.
Kunjungan hormat ini diadakan sebagai tanda menyambut serta mengalu-alukan pelantikan baharu Bapak Noorman Effendi sebagai Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, sekali gus menjadi platform memperkenalkan kepimpinan baharu KJRI kepada pihak DBKK.
Dalam pertemuan ini, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan secara konstruktif berkaitan usaha penambahbaikan dan pengukuhan kerjasama sedia ada merangkumi pelbagai bidang strategik. Perbincangan ini memberi penekanan kepada kepentingan memperluas jaringan hubungan antarabangsa di peringkat bandar raya, sejajar dengan aspirasi Kota Kinabalu untuk terus memperkukuh peranannya sebagai sebuah bandar raya bertaraf antarabangsa, berdaya saing dan inklusif.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk potensi kerjasama dalam bidang ekonomi, pelaburan, pembangunan bandar mampan serta pelancongan, dengan penekanan kepada peranan Kota Kinabalu sebagai pintu masuk utama ke Sabah dan hab strategik bagi menarik pelabur serta pelancong dari Indonesia dan rantau Asia Tenggara.
Perbincangan turut merangkumi isu kepentingan bersama seperti pendidikan, pembangunan modal insan, tadbir urus bandar, perancangan keselamatan dan kesejahteraan komuniti.
DBKK menyambut baik komitmen pihak KJRI dalam memperkukuh kerjasama dua hala yang lebih strategik dan berimpak tinggi, serta berharap kunjungan hormat ini mengeratkan antara Kota Kinabalu dan Republik Indonesia demi kepentingan bersama, pembangunan serantau dan kesejahteraan masyarakat kedua-dua pihak.
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDisediakan oleh:
Unit Penerangan, Pejabat Mayor DBKK
Bella Berhaman
Pegawai PeneranganMohd. Asruddey Rusli
Jurugambar



