Skip to main content

Berita: LAWATAN MUHIBAH MAYOR BANDARAYA KOTA KINABALU KE RUMAH PEMILIK LOT BERDAFTAR KAMPUNG SEMBULAN TENGAH

  • -

    5 APRIL 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengadakan lawatan muhibah ke beberapa rumah penduduk yang berdaftar di lot tanah Kampung Sembulan Tengah yang terlibat dalam Skim Pembangunan Semula Bandar Sembulan.

    Lawatan muhibah ini diketuai oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dan turut disertai oleh Encik Karim bin Haji Rahim, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan) DBKK, ketua-ketua jabatan serta pegawai kanan DBKK, pihak Markas 5 Divisyen Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Askar Wataniah DBKK, serta anggota Jabatan Penguatkuasaan DBKK.

    Dalam lawatan tersebut, YBhg. Dato’ Sri Mayor telah beramah mesra bersama penduduk, mendengar pandangan serta keluhan mereka, di samping memberikan pencerahan mengenai status semasa pelaksanaan pembangunan semula bandar Sembulan agar penduduk mendapat gambaran yang lebih jelas.

    Penduduk yang terlibat kebanyakannya terdiri daripada warga emas yang uzur dan sebahagiannya menghadapi kesukaran untuk berpindah ke kediaman baharu. Sehubungan itu, pendekatan lawatan ini dilaksanakan bagi memastikan tiada penduduk yang terpinggir dan kebajikan mereka terus diberi perhatian sepanjang proses pembangunan dijalankan.

    Turut disampaikan keperluan barangan makanan dan sumbangan duit raya kepada penduduk yang terlibat sebagai tanda keprihatinan YBhg. Dato’ Sri Mayor dalam meringankan beban mereka.

    Sebelum mengakhiri lawatan, YBhg. Dato’ Sri Mayor turut meninjau keadaan di Jeti Sembulan bagi melihat keperluan yang boleh dibantu oleh DBKK dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran.

    Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan DBKK dalam memastikan kebajikan penduduk sentiasa diberi perhatian selaras dengan pelaksanaan pembangunan bandar raya yang lebih terancang dan inklusif.

    Liputan: Noorziana Zainih
    Foto: Mohd. Asruddey Rusli

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Media dan Komunikasi
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK