Berita: SESI LIBAT URUS CABARAN KAMPUNGKU BERSIH EDISI 2026
14 MEI 2026: Cabaran Kampungku Bersih edisi 2026 anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kini kembali dengan nafas baharu yang diperkasakan melalui skop pelaksanaan yang lebih meluas, merangkumi bukan sahaja kawasan daratan dan pulau, tapi turut melibatkan perkampungan atas air.
Pendekatan ini mencerminkan komitmen DBKK dalam memastikan usaha pembudayaan kebersihan dilaksanakan secara lebih inklusif dan menyeluruh, selaras dengan keperluan semasa komuniti bandar raya.
Inisiatif tahunan yang telah diperkenalkan sejak tahun 2023 ini bertujuan untuk membudayakan amalan kebersihan dalam kalangan komuniti, memperkasa pengurusan sisa secara bertanggungjawab serta melestarikan keindahan dan kesejahteraan persekitaran kampung secara menyeluruh.
Satu sesi libat urus berkaitan pelaksanaan cabaran ini telah diadakan bertempat di Horizon Hotel, pada 05 Mei 2026. Sesi yang dirasmikan oleh YBrs. Tuan Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK ini telah dihadiri seramai 88 pemimpin kampung mewakili 61 buah kampung di seluruh bandar raya.
Turut hadir ialah Encik Rozie Khan Halik, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembersihan Bandaraya selaku jabatan pelaksana program; Encik Nickho bin Unui, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Inanam; Encik Nerudin bin Ludah, UPPM Karambunai serta wakil-wakil UPPM dari kawasan Likas, Luyang, Darau dan Karambunai.
Bagi edisi tahun ini, terdapat tiga (3) kategori yang bakal dipertandingkan iaitu:
1.Kategori Daratan Hijau
2.Kategori Pulau & Atas Air
3.Kategori Legasi LestariPemenang Johan, Naib Johan dan tempat Ke-3 bagi kategori “Daratan Hijau” dan “Pulau & Atas Air” akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM20,000, RM12,000 dan RM8,000, sementara pemenang tempat Ke-4 hingga Ke-10 akan membawa pulang hadiah saguhati.
“Legasi Lestari” merupakan kategori yang diperkenalkan buat pertama kali pada edisi kali ini dan akan menghimpunkan juara-juara daripada edisi terdahulu yang akan bertanding untuk membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.
Kriteria penilaian Cabaran Kampungku Bersih akan merangkumi aspek kebersihan, keselamatan, inovasi, elemen pelancongan serta keindahan landskap.
DBKK menyeru agar semua perkampungan di seluruh Bandaraya Kota Kinabalu menyahut cabaran ini sebagai usaha bersama dalam merealisasikan matlamat bandar yang bersih, hijau dan lestari. Untuk maklumat lanjut mengenai cabaran ini, layari Facebook “KK Bersih & Hijau”.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Perkhidmatan Pembersihan Bandaraya, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



