Berita: SESI LIBAT URUS DEWAN BANDARAYA KOTA KINABALU BERSAMA PENGURUSAN PUSAT BELI BELAH
19 MEI 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pelesenan telah mengadakan Sesi Libat Urus DBKK Bersama Pengurusan Pusat Beli Belah berkaitan Penguatkuasaan Lesen Iklan Dalam Bangunan Serta Lesen Kecantikan dan Kesihatan, bertempat di Hotel Horizon, pada 18 Mei 2026.
Seramai 130 peserta telah menghadiri sesi ini yang terdiri daripada wakil Management Corporation Pusat Beli Belah Kawasan Kota Kinabalu serta operator pusat kecantikan dan penjagaan kesihatan.
Pelaksanaan sesi libat urus ini bertujuan untuk memberi penerangan yang lebih jelas dan menyeluruh kepada para peserta mengenai syarat-syarat pelesenan yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Majlis Perbandaran Kota Kinabalu (Iklan), 1983 serta UUK Bandaraya Kota Kinabalu (Kecantikan dan Kesihatan), 2018.
Selain meningkatkan kefahaman terhadap keperluan pelesenan, sesi ini juga diadakan bagi menggalakkan pematuhan peraturan yang ditetapkan, termasuk mendapatkan lesen secara sah serta memastikan semua bentuk iklan dan promosi mematuhi ketetapan undang-undang demi menjaga integriti dan imej kawasan perniagaan.
Sesi dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada YBrs. Tuan Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK dan diikuti oleh taklimat bertajuk “Penguatkuasaan Lesen Iklan Dalam Bangunan serta Lesen Kecantikan dan Kesihatan” yang disampaikan oleh Encik Leong Tze Fui, Pengarah Jabatan Pelesenan, DBKK. Turut hadir dalam sesi ini ialah Ketua-ketua Jabatan dan pegawai-pegawai, DBKK.
Program diteruskan dengan sesi soal jawab serta perbincangan terbuka di antara wakil DBKK bersama para peserta bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan prosedur pelesenan, pematuhan syarat serta isu-isu berkaitan penguatkuasaan.
DBKK berharap sesi libat urus serta perkongsian maklumat seperti ini dapat memperkukuhkan kerjasama berterusan antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pengusaha pusat perniagaan dan kesihatan dalam memastikan pelaksanaan penguatkuasaan yang lebih berkesan, adil dan memberi manfaat kepada semua pihak.
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



