Berita: PKKB: KARNIVAL KK GREENOVATION 2026, PERKASA PENGLIBATAN KOMUNITI DALAM PROGRAM BERTERASKAN INOVASI DAN KELESTARIAN BANDAR RAYA
16 JULAI 2026: Seiring usaha memperkasa penglibatan komuniti dan menggalakkan pelaksanaan program berteraskan inovasi serta kelestarian alam, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Penyelidikan dan Inovasi telah mengadakan Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Karnival KK Greenovation 2026, di Padang Merdeka Kota Kinabalu pada 11 Julai 2026.
Program yang dianjurkan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ini turut mendapat sokongan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Jabatan Hidupan Liar dan Taman-Taman Sabah.
Penganjuran program ini bertujuan untuk menggalakkan penglibatan komuniti dalam agenda bandar pintar, memperkasa kanak-kanak dan belia sebagai agen perubahan serta menyediakan platform kerjasama antara agensi, industri, badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi akademik.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Dalam ucapannya, beliau berkata, program ini menjadi salah satu inisiatif dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai inovasi hijau dan amalan mesra alam, di samping menyokong aspirasi Kota Kinabalu sebagai Bandar Pintar, Bandar Rendah Karbon serta Bandar Mesra Kanak-Kanak dan Warga Emas.
Hadir sama ialah Encik Zainuddin bin Harisa, Pegawai Bahagian Kesejahteraan Komuniti, KPKT; YBrs. Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan), DBKK; Puan Siti Khairunnisa Ali Rahman, Arkitek Landskap, Sektor Landskap dan Kelestarian, KPKT; Encik Muhamad Hisyamuddin bin Idris, Penolong Setiausaha, Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah dan Puan Judy Stephen, Pengurus Bank Muamalat Cawangan Kota Kinabalu.
Program ini telah menarik penyertaan seramai 500 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah, pelajar institusi pengajian tinggi serta wakil daripada pelbagai agensi kerajaan. Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti berteraskan kelestarian dan inovasi teknologi hijau telah diadakan.
Antaranya ialah Green Footprint Tree Planting, pameran teknologi hijau, demonstrasi Internet of Things (IoT), Green Footprint TikTok Challenge, Green Tech Explorer, pertandingan mewarna, pertandingan Jingle AI, siri bengkel pendidikan, pemeriksaan kesihatan secara percuma serta Jualan Rahmah.
Selain menekankan kepentingan kelestarian alam sekitar dan inovasi, Dato’ Sri Mayor berkata, DBKK turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kemampanan bandar raya yang merangkumi aspek kewangan, tadbir urus, ekonomi dan alam sekitar.
Jelasnya, DBKK sedang membangunkan model kewangan baharu sebagai inisiatif jangka panjang bagi memastikan kemampanan kewangan bandar raya, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber hasil tradisional seperti cukai kadaran, lesen, sewaan dan bantuan kerajaan pada masa hadapan.
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



