Berita: 1 HARI MENJELANG HARI CUCI MALAYSIA 2025 PERINGKAT BANDARAYA KOTA KINABALU, PERSIAPAN GIAT DIJALANKAN
26 SEPTEMBER 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kini sedang giat menjalankan kerja-kerja persiapan bagi program Hari Cuci Malaysia 2025 Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu yang akan diadakan di pekarangan Bangunan DBKK, pada 27 September 2025.
Penganjuran program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan membudayakan amalan kebersihan dalam kalangan masyarakat dan akan dilaksanakan secara serentak di seluruh Malaysia bersempena dengan World Cleanup Day dan sambutan World Environmental Health Day.
Sebagai persiapan awal menjelang acara sebenar, pelbagai tindakan kebersihan telah dilaksanakan di sekitar bandar raya. Antaranya ialah pemangkasan dahan pokok yang berjuntai di sepanjang Jalan Kamunta dan Jalan Chong Thian Vun yang dilakukan oleh Jabatan Landskap, DBKK. Kerja pemangkasan ini turut dibantu dengan menggerakkan aset kebersihan seperti dua buah jentera Skymaster dan dua buah lori.
Momentum persiapan diteruskan dengan gotong-royong dan pembersihan oleh anggota Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal melibatkan Jalan Gaya, Lintasan Deasoka dan Lorong Bank. Manakala, Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya, DBKK telah menjalankan aktiviti fogging di kawasan perkampungan Pulau Gaya, yang turut menjadi lokasi acara pada hari sebenar.
Usaha sama di antara jabatan-jabatan DBKK ini menjadi cerminan kepada komitmen dan dedikasi dalam menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya yang bersih, hijau dan berdaya huni.
Orang ramai dijemput untuk hadir dan berkumpul di pekarangan Bangunan DBKK bagi menjayakan program Hari Cuci Malaysia 2025 Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu yang akan berlangsung Sabtu ini.
Untuk maklumat lanjut berkaitan program ini, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK selaku urus setia boleh dihubungi di talian 011-51341547 (Whatsapp) atau layari Facebook “KK Bersih & Hijau” untuk mengikuti perkembangan inisiatif semasa.
Ayuh warga Kota Kinabalu, berganding bahu demi bandar raya yang lebih bersih, sihat dan lestari.
Semua dijemput hadir!
Sumber Info dan Foto: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya dan Jabatan Landskap, DBKK
#HariCuciMalaysia2025
#WorldCleanupDay
#WorldEnvironmentalHealthDay
#MalaysiaMADANI
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPIntarDanLestari
#KKBersihDanHijauDisediakan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



