Berita: MAYOR BANDARAYA KOTA KINABALU MENYANTUNI PENIAGA DAN PENGUNJUNG BAZAR LINTASAN DEASOKA 2026
5 MAC 2026: Suasana meriah disulami aroma pelbagai juadah menyambut kehadiran Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, bersama Datin Sri Hajah Adreen Aderizza binti Mohammad Soffi, Pengerusi Puspanita Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu, serta barisan pengurusan tinggi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, pengarah-pengarah jabatan dan pegawai kanan, ketika turun padang menyantuni para peniaga dan pengunjung di Bazar Lintasan Deasoka Tahun 2026 yang berlangsung di sekitar pusat bandar Kota Kinabalu, pada 4 Mac 2026.
Bazar yang menjadi tumpuan setiap tahun ini menawarkan aneka pilihan juadah yang menggamit selera, daripada hidangan tradisional tempatan, kuih-muih pelbagai warna dan rasa, minuman segar, hinggalah kepada sajian moden dan kontemporari yang digemari semua peringkat usia. Kepelbagaian ini bukan sahaja menceriakan suasana bazar, malah mencerminkan kekayaan budaya serta kreativiti para peniaga tempatan.
Tahun ini, seramai 215 orang peniaga mengambil bahagian, menjadikan Bazar Lintasan Deasoka antara lokasi yang paling meriah dengan pilihan juadah yang pelbagai. Mayor turut meluangkan masa beramah mesra, menyapa peniaga serta pengunjung, di samping melihat sendiri sambutan orang ramai yang tidak putus-putus mengunjungi bazar ini.
Dalam lawatan tersebut, Mayor menzahirkan penghargaan kepada para peniaga atas usaha dan komitmen mereka dalam menyediakan jualan yang berkualiti, bersih dan teratur. Penekanan turut diberikan kepada aspek kebersihan, pengurusan sisa serta pematuhan peraturan bagi memastikan pengunjung dapat menikmati pengalaman membeli-belah dalam suasana yang selesa dan selamat.
Bazar Lintasan Deasoka bukan sekadar lokasi membeli juadah, malah menjadi ruang pertemuan komuniti, menghidupkan suasana bandar dan merancakkan ekonomi setempat. Lawatan ini mencerminkan keprihatinan kepimpinan bandar dalam mendekati rakyat serta menyokong usaha peniaga kecil yang menjadi nadi ekonomi bandaraya.
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Unit Penerangan, Pejabat Mayor DBKK
Bella Berhaman
Pegawai PeneranganMohd. Asruddey Rusli
Jurugambar



