Laman Web Rasmi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu

sticker3

sticker5

sticker7

Laman Utama

MINI KARNIVAL FIG DAN ANGGUR SABAH SEMPENA ULANG TAHUN KE-17 BANDARAYA KOTA KINABALU

KOTA KINABALU: Orang ramai dijemput hadir menyaksikan Mini Karnival Fig dan Anggur Sabah yang akan diadakan pada 24 – 26 Mac 2017 di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu. Karnival yang dianjurkan oleh Kelab Rekreasi dan Kebajikan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (REKA DBKK) dengan kerjasama Sabah Figs and Grapes Association  (SFGA) merupakan salah satu acara pengisian sambutan Ulang Tahun Ke-17 Bandaraya Kota Kinabalu.   Karnival ini dijangka akan dirasmikan oleh Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai pada 26 Mac jam 9.00 pagi.

 Menurut Pengerusi Penganjur, Robert Lipon yang juga Pengerusi Kelab REKA DBKK,  objektif utama karnival ini adalah untuk mempromosi tanaman pokok fig yang dikatakan mempunyai pelbagai manfaat kepada kesihatan manusia seperti memerangi sel kanser, mengawal berat badan, mengawal tekanan darah, memelihara kesihatan kulit, menguatkan imuniti terhadap serangan penyakit dan pelbagai khasiat lain yang diperolehi melalui buah atau daunnya. Selain itu, karnival ini juga mempromosi gaya hidup sihat, hijau dan bersih dengan aktiviti berkebun.

Sehubungan itu, pelbagai varieti anak pokok fig, produk fig dan peralatan untuk menanam fig akan dijual di karnival tersebut. Pelbagai aktiviti sampingan juga telah disusun bagi memeriahkan lagi karnival ini. Antaranya adalah bengkel setengah hari penanaman dan penjagaan pokok fig. Bengkel ini akan diadakan pada 24 Mac 2017, bermula pukul 2.00 petang di Dewan Mesyuarat DBKK. Orang ramai boleh menyertai secara percuma dengan had 50 orang yang pertama mendaftar sahaja.

Karnival ini turut diserikan dengan hiburan oleh beberapa kumpulan buskers sekitar bandaraya  pada 25 dan 26 Mac. Turut diadakan adalah gerai jualan barangan terpakai atau garage sale yang dikendalikan oleh ahli-ahli REKA DBKK. Jualan garaj ini merupakan salah satu kaedah melupus barangan terpakai dengan menggunakan konsep sampah sifar.  

Pertandingan mewarna berkonsepkan alam sekitar bagi kategori pelajar-pelajar sekolah rendah akan diadakan pada 25 Mac. Disamping itu, beberapa lot tambahan untuk gerai jualan Tamu Minggu Gaya turut dibuka bagi menceriakan lagi suasana karnival.

BANDARAYA BERKEMBAR KOTA KINABALU