Buat julung kalinya Kursus Kemahiran Memerhati Burung dan Pemuliharaan Alam Sekitar di kawasan Sub Urban Bandaraya Kota Kinabalu anjuran DBKK selama 3 hari 2 malam bertempat di Pusat Pelancongan Edu-Kolonsunan, Kg. Kolonsunan Inanam pada 3 hingga 5 November 2023 dengan kerjasama Taman-taman Sabah.

Sebanyak 20 peserta telah menyertai program ini yang terdiri daripada komuniti Kg. Kolonsunan, Kg. Babagon Toki, Kg. Binaung Baru, Homestay Desa Cinta Kobuni Inanam dan Homestay Darau Wetland. Selain daripada sesi taklimat yang disampaikan oleh pakar-pakar daripada Taman-Taman Sabah, sesi latihan amali juga diadakan di sekitar laluan rentis hutan di kampung tersebut. Hasil daripada latihan amali yang dibuat selama 5 jam dalam tempoh kursus ini diadakan, sebanyak lebih kurang 84 spesis burungtelah ditemui yang mana daripada jumlah spesis ini, 12 spesis adalah endemik , manakala sebanyak 3 spesis adalah burung pengembara.

Menurut pakar burung, Tuan Alim Biun, kawasan ini yang juga merupakan kawasan buffer Rezab Biosphera Banjaran Crocker mempunyai potensi besar untuk dijadikan sebagai salah satu pusat memerhati burung di negeri ini kerana beliau percaya bahawa spesis burung yang terdapat di kawasan ini boleh mencapai lebih daripada 100 spesis.

Majlis Perasmian penutupan kursus ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Peto Galim, Ahli Dewan Undangan N.18 Inanam merangkap Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri Sabah.