Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu Tahun 2023 telah diadakan pada 19 November 2023 di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu. Sambutan ini merupakan anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu dan Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, bertemakan ‘Tandas Bersih, Komuniti Sejahtera’.

Acara perasmian sambutan ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Abidin Madingkir, JP, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap Menteri Bertanggungjawab Kepada DBKK. Turut hadir sama adalah YBhg. Datuk Noorliza Awang Alip, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu;  YBhg. Datuk Hajah Maznah Abdul Ghani, Pengerusi, Koperasi Wanita Kota Kinabalu Berhad (KOWANI), mewakili YBhg. Datuk Nancy Ho, Pengerusi ‘Love Healthy KK’; Tuan Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK selaku Pengerusi Pelaksana Program; Puan Rosnah Datu Tumai, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) DBKK; Encik Suhaimi bin Haji Matshah, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu dan Dr. Andrew Chin, Pegawai Perubatan, Unit Kawalan Penyakit Berjangkit, mewakili Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan seperti pertandingan dan penarafan kebersihan tandas melibatkan 11 buah sekolah rendah, 5 buah sekolah menengah dan 10 buah pusat beli belah.

Selain itu, penggredan dan penarafan kebersihan dan tandas premis makanan serta stesen minyak turut dijalankan, disamping aktiviti pameran kesihatan persekitaran dan kuiz. Diharapkan melalui aktiviti-aktiviti ini, objektif sambutan ini dapat dicapai dalam menerapkan pembudayaan tandas bersih dengan mengubah persepsi masyarakat terhadap kebersihan tandas dan meningkatkan kualiti pengurusan tandas.

Di samping itu, sambutan ini juga bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kepada tandas-tandas yang mencapai standard kebersihan serta mendidik masyarakat ke arah menjadikan semua tandas menepati ciri-ciri tandas BMW iaitu Bersih, Menawan dan Wangi.

Tahniah kepada semua pemenang Pertandingan Tandas Bersih yang melibatkan tiga kategori berikut:
i) Kategori Sekolah Rendah
Johan:  SK Api Api
Naib Johan: SK Lok Yuk Likas
Tempat Ketiga: SK St Francis Convent

ii) Kategori Sekolah Menengah
Johan: Kolej Vokasional Likas
Naib Johan: SM All Saints
Tempat Ketiga: SM Perempuan Likas

iii) Kategori Pusat Beli Belah
Johan: Imago Shopping Mall
Naib Johan: Suria Sabah
Tempat Ketiga: 88 Mall

DBKK turut mengiktiraf enam premis makanan yang mendapat pengiktirafan kebersihan premis Gred A dan memperolehi penarafan Tandas 5 Bintang bagi premis makanan di Jalan Gaya dan Jalan Pantai iaitu Kopi Ping Café Sdn. Bhd., Supreme Sdn. Bhd. (Young Sanna Mee), Old Town White Coffee, Little Italy@Capital, Shoney’s Dining & Bar dan Thien Thien Restaurant.

Selain itu, stesen minyak Petron juga mendapat pengiktirafan taraf Tandas 5 Bintang untuk empat stesen minyaknya di Stesen Petron Inanam, Stesen Petron Ulam North, Stesen Petron Ulam South dan Stesen Petron Jalan Pantai.

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan penerima-penerima sijil pengiktirafan.

Dalam pada itu, aktiviti pameran turut dijayakan oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal DBKK, Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu dan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu.

Ucapan penghargaan juga ditujukan kepada Jawatankuasa ‘Love Healthy KK’, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Kota Kinabalu, Persatuan Kedai Kopi Pantai Barat Sabah, Persatuan Restoran Persahabatan Sabah, Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Sabah, Dewan Perniagaan Muslim Sabah, Life Water Industries Sdn. Bhd. serta semua pihak dan individu yang telah menjayakan sambutan ini.