70 Premis Perniagaan Dalam Bangunan Pusat Belah-belah, Diperiksa

Sebanyak 70 buah premis perniagaan dalam bangunan pusat beli-belah telah diperiksa oleh DBKK dalam satu operasi bersepadu kelmarin, 18 April 2024. Operasi bersepadu ini merupakan pemeriksaan Siri 1 yang bertujuan untuk memeriksa pematuhan undang-undang yang diperuntukkan di bawah Undang-undang Kecil (Makanan dan Premis Makanan) 1966.

DBKK telah mengambil tindakan kompaun dan memberi teguran kepada pemilik-pemilik premis yang didapati melakukan kesalahan di bawah Undang-undang Kecil (Makanan dan Premis Makanan) 1966, seperti tidak mempamerkan lesen perniagaan, lesen perniagaan telah tamat tempoh dan lain-lain.
 
Diketuai oleh Encik Rozie Khan Halik, Pengarah Jabatan Pelesenan DBKK, operasi bersepadu ini dilaksanakan bersama anggota-anggota Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) DBKK.
 
Semua pemilik premis perniagaan adalah dinasihati agar sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. DBKK akan terus melaksanakan pemeriksaan lanjut ke atas premis-premis perniagaan dalam pusat beli-belah yang lain, dari masa ke masa.
 
Ikuti rangkaian media sosial rasmi DBKK - Facebook dan Instagram untuk perkembangan terkini. 
 

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Mengambil Tindakan Tegas Kepada Pengusaha Premis Makanan

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus meningkatkan penguatkuasaan dan pemeriksaan ke atas premis-premis makanan di Bandaraya Kota Kinabalu. Ini bagi menjamin tahap keselamatan makanan yang dijual dan disediakan adalah selamat untuk dimakan.

Menurut Tuan Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, sejumlah 506 premis makanan telah diperiksa dan digredkan dalam tempoh Januari hingga Mac 2024 daripada 1682 jumlah keseluruhan premis makanan. Dalam pemeriksaan berkenaan, sebanyak 177 (35%) premis makanan telah mendapat Gred A, manakala 324 (64%) dan 5 (1%) premis makanan mendapat Gred B dan C masing-masing.
 
Dalam tempoh yang sama, DBKK turut mengeluarkan sejumlah 89 kompaun kepada premis makanan di bawah Undang-Undang Kecil (Makanan dan Premis Makanan) 1966 dan Undang-Undang Kecil (Anti Sampah Sarap) 1984. Antara kesalahan yang telah dikompaun adalah pengendali makanan yang gagal memiliki Sijil Kesihatan yang sah, pengendali makanan gagal memakai kad pengenalan pengendali makanan semasa bekerja, premis tidak memasang dan menyelenggara perangkap lemak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, melakukan aktiviti mencuci peralatan dan menyediakan makanan di kaki lima atau ruang legar, menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah serta membuang sampah, sisa cecair atau minyak di tempat awam. DBKK juga mengarahkan premis-premis makanan agar membuat kawalan makhluk perosak (pest control) untuk mengawal urungan lipas, lalat dan tikus.
 
Selain itu, DBKK juga telah memeriksa dan memberikan penarafan bintang ke atas 301 tandas di premis makanan, yang mana sejumlah 137 tandas mendapat penarafan 3 bintang ke atas manakala 164 premis mendapat penarafan 2 bintang ke bawah. Bagi memberikan dorongan dan insentif kepada pengusaha premis makanan menaik taraf tandas mereka, DBKK sedang mengadakan Pertandingan Tandas Bersih Premis Makanan yang mana majlis penyampaian hadiahnya akan diadakan pada bulan Jun ini.
 
DBKK akan meneruskan penguatkuasaan tegas serta tindakan kompaun dan akan menutup premis makanan yang kotor dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu.