KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sedang giat menjalankan aktiviti pemeriksaan dan penggredan premis makanan di Bandaraya Kota Kinabalu bagi memastikan keselamatan makanan di setiap premis makanan adalah terjamin dan selamat untuk dimakan.
 
Pada 25 & 26 April 2024 lalu, pemeriksaan dan penggredan premis makanan telah dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) DBKK ke atas 13 premis makanan di sekitar bandar raya, antaranya Taman Putera Jaya, Telipok, TNK Commercial Centre, Plaza Tanjung Aru dan Plaza Alamesra.
 
Hasil pemeriksaan yang dijalankan, sembilan premis makanan telah digredkan, yang mana 3 premis telah mendapat gred A, 5 premis mendapat gred B dan 1 premis mendapat gred C. Manakala 4 premis makanan lagi adalah merupakan pemeriksaan susulan.
 
Penarafan Bintang Tandas juga telah dijalankan di premis makanan yang diperiksa. Sebanyak 4 buah premis makanan telah mendapat 3 Bintang ke atas, dan 5 buah premis mendapat 2 Bintang ke bawah. Kesemua premis telah diberikan teguran dan nasihat untuk membuat pembersihan dan penambahbaikan terhadap tandas premis mereka.
 
Bilangan premis makanan yang menjalankan kawalan makhluk perosak (‘pest control’) pula adalah sebanyak 5 premis manakala 4 premis lagi belum membuat kawalan makhluk perosak. Keempat-empat premis tersebut telah diberikan teguran dan arahan untuk membuat kawalan makhluk perosak bagi mengawal kehadiran lipas, lalat dan tikus di premis mereka.
 
Sepanjang tempoh pemeriksaan, beberapa penemuan telah dikenal pasti iaitu terdapat pengendali makanan yang tidak mempunyai Kad Pengenalan Pengendali Makanan, pengusaha premis menjalankan aktiviti penyediaan makanan dan pencucian di kawasan kaki lima, pengendali makanan tidak mempunyai sijil kursus Latihan Pengendali Makanan, pengusaha premis tidak memiliki Sijil Kesihatan yang sah dan perangkap lemak tidak diselenggara dengan baik setiap masa.
 
Sebanyak 5 Notis Penambahbaikan telah dikeluarkan terhadap beberapa premis bagi penemuan-penemuan yang telah dikenal pasti seperti yang dinyatakan di atas.
 
Dalam masa sama, sebanyak 2 kompaun telah dikeluarkan di bawah Undang-undang Kecil (Makanan dan Premis Makanan) 1966 di atas kesalahan pengusaha premis tidak mempunyai Sijil Kesihatan yang sah serta menjalankan aktiviti penyediaan makanan dan pencucian peralatan di kawasan kaki lima.
 
DBKK terus komited dalam memastikan keselamatan makanan sentiasa terjamin dengan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa terhadap premis makanan di Bandaraya Kota Kinabalu.