Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sentiasa menjalankan operasi pembersihan parit awam sepanjang tahun. Satu operasi khas pembersihan parit telah dilaksanakan bermula 19 September 2022 sehingga minggu ini sebagai salah satu usaha bagi menangani masalah banjir kilat di sekitar kawasan yang dikenalpasti sebagai kawasan kerap dilanda masalah banjir.
Antara kawasan tumpuan operasi ini adalah di Taman Kingfisher Fasa 2C dan Fasa 2, Taman Kingfisher Lorong Raja Udang 11,12 dan 13, Taman Millenium Kingfisher, Taman Ujana Kingfisher, kawasan lapang Fasa 5 dan di parit besar Jalan Bangka-Bangka, Taman Kingfisher Fasa 3.
Usaha ini melibatkan keseluruhan anggota empat (4) Unit Pembersihan Parit, Jabatan Landskap, DBKK. DBKK akan terus berusaha untuk menjalankan operasi khas yang sama di kawasan lain dalam masa terdekat. Sehubungan dengan itu, warga bandar raya Kota Kinabalu adalah dinasihatkan untuk tidak membuang sampah ke dalam parit dan sentiasa bekerjasama dengan DBKK untuk memantau keadaan kebersihan persekitaran di kawasan perumahan dan premis perniagaan masing-masing.