Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah membuka dua (2) tapak tamu baharu iaitu Tamu Lokal Kampung Kokol, Manggatal yang telah dirasmikan pada 20 November 2021 di Kampung Kokol, Manggatal dan Tamu Lokal Kampung Darau Laut, Manggatal yang telah dirasmikan pada 21 November 2021 di Kampung Darau Laut, Manggatal. Kedua-dua tamu lokal ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Abidin Bin Madingkir JP, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Yang Bertanggungjawab Kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

Objektif tamu lokal ini adalah sebagai platform terbaik buat masyarakat tempatan memasarkan hasil pertanian, penternakan dan hasil kraftangan serta seni budaya kaum. Seramai 30 orang penjaja terlibat bagi permulaan tamu ini yang memasarkan produk mereka sendiri seperti kuih kering, kerepek dan sayur-sayuran, hasil laut seperti ikan, kupang, ketam bakau dan udang air tawar di Tamu Lokal Kampung Darau Laut dan sayur-sayuran dan tanaman bukit di Tamu Lokal Kampung Kokol.

Berikut merupakan jadual tamu bagi kedua-dua tamu lokal berkenaan :

1.  Tamu Lokal Kampung Kokol, Manggatal

Hari tamu  : Hari Sabtu Minggu Pertama dan Minggu Ketiga
Masa operasi  : 6.00 Pagi hingga 1.00 Petang

2.  Tamu Lokal Kampung Darau Laut, Manggatal

Hari tamu  : Setiap Ahad
Masa operasi  : 6.00 Pagi hingga 1.00 Petang

DBKK berharap agar tamu lokal ini akan dapat membantu penduduk kampung dari segi ekonomi dan pendapatan terutama sekali dalam cabaran pandemik Covid-19 ini. Semoga penduduk kampung juga terus menyokong dan bekerjasama dengan pihak DBKK dan agensi kerajaan lain dalam usaha pembangunan sosial dan ekonomi di kawasan kampung seiring dengan pembangunan di kawasan bandaraya Kota Kinabalu.