Sumber Info dan Foto: Jabatan Landskap, DBKK

 
Keindahan Pokok Sakura Malaysia ataupun Tecoma menyerikan lagi persekitaran bandar raya Kota Kinabalu!
 
Tahukah anda, pokok Tecoma mula ditanam di Kota Kinabalu pada tahun 1999 di bawah Program Penghijauan Bandar, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT). Penanaman terus digiatkan secara besar-besaran oleh DBKK di kawasan jalan utama dan kawasan perumahan pada tahun 2003-2015. Walau bagaimanapun, taburan pokok di jalan-jalan utama telah berkurangan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pelebaran jalan dan pembangunan bandar.
 
Di Malaysia, terdapat tiga (3) spesis pokok Tecoma yang ditanam iaitu Tabebuia Ochracea (bunga berwarna kuning), Tabebuia Pallida (bunga berwarna merah jambu) dan Tabebuia Pentaphylla (bunga berwarna ungu). Di Kota Kinabalu, pokok yang ditanam adalah Tabebuia Pallida dan Tabebuia Pentaphylla.
 
Berdasarkan Kajian Fenologi Pokok Berbunga DBKK (2008), pokok ini akan berbunga empat (4) kali setahun iaitu pada bulan Mac, Jun, September dan Disember. Musim kemarau panjang akan mempengaruhi pembungaan yang lebat seperti yang terjadi pada bulan April ini. Kemarau yang panjang pada Februari dan Mac 2024 telah mencetuskan fenomena pembungaan lebat pokok-pokok Sakura Malaysia @ Tecoma.
 
Pasti ramai yang teruja dengan fenomena pembungaan lebat pokok Tecoma ini. Bah! Jom ramai-ramai merakam keindahan Tecoma di Kota Kinabalu.
 
Antara lokasi penanaman pokok Sakura Malaysia di Kota Kinabalu adalah:
1. Jalan Lintas (Lido-Kolombong)
2. Jalan Tuaran By Pass
3. Jalan Kepayan
4. Jalan UMS
5. Jalan Sulaman
6. Taman-taman perumahan (Taman Malawa Jaya, Taman Sempelang Sembulan, Taman Kingfisher, Ujana KingfisherTaman Bakti, Taman Indah Permai, Taman Fulliwa, Taman Putera Jaya, Taman BDC dan sebagianya)
7. Pekan (Inanam dan Tanjung Aru)
8. Pusat bandar raya Kota Kinabalu (City Park, Jalan Pantai dan kawasan lapang Api-api Centre)